5.10.21

Anugerah Bintang Popular (ABP34) - Zul Ariffin, Remy Ishak dan Zizan Razak tidak tersenarai

KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Pengelola majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-34 mengesahkan undian diperoleh tiga calon artis awal ABP34 dalam kategori solo menerusi pencalonan Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Artis Versatil Popular tidak akan dikira dan tidak disenaraikan pada tangga lima teratas.



Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABP34, Shamshul Azree Samshir berkata ia juga merangkumi undian seorang calon kategori YouTuber Popular, yang mengumumkan menarik diri sebelum ini.

Menurut Shamshul, sebagai acara hiburan berprestij yang mementingkan integriti dan legasi dicipta lebih tiga dekad lalu, ABP mahu terus memberi mandat kepada peminat untuk menentukan artis mana yang layak bergelar Bintang Paling Popular.

Pun begitu, katanya, undian diperoleh tiga artis untuk kategori atas talian iaitu Gandingan Serasi Drama Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular, tetap diambil kira atas faktor pencalonan adalah mengikut watak gandingan yang dibawa calon dalam drama atau filem, selain mahu berlaku adil kepada pasangan atau pelakon yang digandingkan dalam karya dipertandingkan.

“Tiga artis solo itu adalah Zizan Razak yang tersenarai dalam calon awal kategori utama Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan kategori online Gandingan Serasi Filem Popular; Zul Ariffin (kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular.

“Selain itu, Zul juga mendapat dua pencalonan dalam kategori online Gandingan Serasi Drama Popular) serta Remy Ishak (kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular dan kategori online Gandingan Serasi Drama Popular).

“Calon kategori Artis YouTuber Popular yang turut menyatakan hasrat menarik diri daripada pencalonan awal ABPBH 34 ialah Zukie Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Baca Juga : Azzam Shah dan Sheryl Shazwani Selamat Bertunang

Selain itu, kata Shamshul, pihaknya menghargai keutuhan, kesetiaan dan sokongan peminat terhadap penggiat seni walaupun industri kreatif tempatan dilihat agak sepi sejak pandemik Covid-19 melanda, 18 bulan lalu.

“Tidak keterlaluan jika dianggap peminat adalah penyelamat kepada kelangsungan dunia hiburan yang perlahan-lahan bangkit semula susulan kelonggaran diberi kerajaan kepada penggiat industri kreatif, baru-baru ini.

“Sehubungan itu, ABP mahu terus menyemarakkan industri kreatif dengan menyantuni sokongan diberi peminat terhadap penggiat seni termasuk artis yang tercalon dalam pusingan awal dan akhir ABP34,” katanya.

Shamshul juga berkata, ABP turut memperakui bakat dan sumbangan anak seni yang menepati syarat ditetapkan Jawatankuasa Penjurian ABP34 untuk dicalonkan dalam kategori utama dan online acara anugerah ini saban tahun.

“Sehubungan itu, ABP berharap usaha menyemarakkan industri kreatif pada era pandemik ini, dan lebih penting memberi peluang pekerjaan kepada petugas belakang tabir sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran edisi ke-34 ABP ini dapat diteruskan atas semangat kekitaan sesuai dengan tema tahun ini #KITABERSAMA.

“Kami juga ambil maklum mengenai sebab-sebab penarikan diri mereka, dan akan mengambil langkah-langkah penambahbaikkan yang sesuai bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang, demi memastikan acara tahunan ini mampu menyumbang dengan lebih efektif dalam memartabatkan lagi industri kreatif tanah air,” katanya.

Pada malam kemuncak ABP34, sebanyak 14 kategori utama dipertandingkan iaitu Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular.

Selain itu, kategori lain termasuk Penyampai Radio Popular, Watak Animasi Popular, enam (6) kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah FANtastik Popular, Watak Antagonis Popular, Artis TikTok Popular dan YouTuber Popular.

Undian untuk kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular mula dibuka hari ini.

Sumber - Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Papaglamz.com © . Designed by MaisarahSidi.com