20.9.18

Ilustrasi Bergambar Bersalin Secara Pembedahan Dan Panduan Berpantang Untuk Ibu Bersalin Ceasarean

Assalamualikum semua. Pengorbanan seorang ibu tiada tandingannya untuk anak-anak. Sejak dari hendak lahir lagi, ibu berkorban dalam kepayahan mengandungkan kita selama 9 bulan. Kemudian menjalani proses bersalin, berpantang dan seterusnya membesarkan.

Seperti yang kita tahu proses bersalin secara umumnya mempunyai 2 kaedah. Samaada bersalin secara normal ataupun secara pembedahan (ceaser). Walauapapun kaedahnya kedua-duanya merupakan satu proses yang amat menyakitkan dan hanya seorang yang bergelar wanita atau ibu sahaja yang mampu untuk mengharunginya. 

Bersalin normal itu biasa. Bayi keluar melalui laluan raim ibu. Tapi, bagi yang melahirkan secara pembedahan atau ceasar, sebahagian perut dan juga rahim ibu perlu dibelah bagi mengeluarkan bayi dari rahim ibu. Ramai yang berkata, proses melahirkan secara pembedahan tidaklah berapa sakit kerana pada ketika ini ibu diberi bius tahan sakit. Tetapi, kesan sakit bersalin secara ceasar adalah selepas bersalin dan ianya berpanjangan sehingga bertahun-tahun.

Gambar di atas adalah ilustrasi secara bergambar bagaimana proses bersalin secara pembedahan dilakukan. (Kredit : FB @Hamil9Bulan)

Baca juga : 5 Tanda-tanda keguguran diawal usia kandungan

PUNCA DAN SEBAB WANITA TERPAKSA BERSALIN SECARA PEMBEDAHAN


1. Plasenta Previa

Selama kehamilan, rahim wanita akan berkembang dan plasenta (uri) yang normal akan melebar ke arah atas menjauhi serviks. Plasenta previa inilah keadaan di mana plasenta ini tetap berada di bahagian bawah rahim atau dekat dengan serviks sehingga menutupi jalan laluan kelahiran.

Antara gejala plasenta previa yang paling biasa adalah pendarahan tanpa disertai rasa sakit. Perdarahan tersebut biasanya terjadi pada 3 bulan terakhir masa kehamilan.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kategori plasenta previa. Hanya jika ia tergolong dalam kategori major, bersalin secara pembedahan terpaksa dijalankan.

2. Plasenta Luruh (Abruption)

Keadaan ini melibatkan proses terpisahnya plasenta dari dinding rahim yang terjadi sebelum waktu bersalin tiba. Apabila ia berlaku, bayi berisiko untuk mengalami masalah terputus bekalan nutrisi dan oksigen. Ibu mengandung mungkin akan berasa rasa sakit, mengalami pendarahan vagina, ataupun rasa cramp.

Dalam sesetengah kes, keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya kelahiran bayi pra-matang. Selain plasenta abruption, terdapat juga masalah koyakan pada rahim (uterine rupture) yang juga memerlukan seseorang wanita bersalin secara pembedahan serta-merta.

3. Kehamilan Songsang

Menurut Dr Izzat melalui Malaysian Medical Gazette, terdapat beberapa jenis songsang yang boleh berlaku pada ibu hamil. Posisi yang paling biasa extended breech di mana kedua-dua kaki terletak lurus dengan buku lali berada di sebelah kepala bayi. Maksudnya, apabila doktor membuat pemeriksaan jalan kelahiran dari vagina, mereka akan merasakan punggung bayi.

Menurut beliau, ada masanya kes ini ibu masih dibenarkan untuk bersalin secara normal.

4. Tali Pusat Jatuh (Cord Prolapse)

Keadaan ini amat jarang berlaku. Tetapi, jika ianya terjadi, pembedahan kecemasan terpaksa dilakukan dengan segera. Tali pusat jatuh berlaku apabila tali pusat terkeluar melalui serviks dan vagina sebelum bayi dilahirkan.

Pernah satu ketika, kes ‘tolak semula kepala bayi’ selepas dilahirkan menjadi viral. Keadaan tersebut sebenarnya diperjelaskan dengan mengaitkannya dengan situasi ini. Risikonya amat merbahaya dan boleh menyebabkan hypoxia (kekurangan oksigen) dan kematian. Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi menjelaskan, “…sesiapa yang memeriksa bukaan dan mendapati ada tali pusat / tangkai uri terkeluar, sememangnya dia akan menolaknya ke dalam bagi menyelamatkan bayi. Dalam situasi tertentu, kepala bayi (yang masih dalam rahim) akan ditolak sedikit bagi mengelakkan ia menekan tali pusat / tangkai uri yang terkeluar dan seterusnya pembedahan kecemasan akan dilakukan.”

5. Bayi Lemas (Fetal Distress)

Punca bayi lemas dalam kandungan adalah kekurangan oksigen pada bayi dalam kandungan. Ia dikesan melalui tanda denyutan jantung bayi yang menjadi perlahan – iaitu jauh lebih rendah berbanding kadar normal.

Sekiranya ia berlaku, pembedahan caesarean perlu dilakukan secepat mungkin untuk menyelamatkan nyawa bayi.

6. Bukaan Lambat

Menurut BabyCenter, jika bukaan rahim terlalu lambat – iaitu tidak terbuka pada kadar sekurang-kurangnya 0.5cm setiap jam dalam masa 4 jam, ia mungkin salah satu tanda bermasalah.

Umumnya, proses kelahiran ini menjadi lambat tanpa sebarang sebab tertentu. namun ia biasanya dikaitkan dengan posisi bayi, kontraksi yang lemah, dan saiz pelvis ibu yang kurang sesuai.

7. ULangan / Repeat Ceasarean

Menurut sumber, 60-80% wanita yang pernah bersalin secara pembedahan boleh bersalin secara normal. Keadaan ini digelar vaginal birth after cesarean (VBAC).

Sungguhpun begitu, terdapat kes tertentu di mana ia boleh menyebabkan masalah seperti rahim pecah dan risiko kematian pada bayi. Sekiranya terdapat tanda-tanda komplikasi, pembedahan Caesarean terpaksa dijalankan untuk menyelamatkan keadaan.

8. Tinggi / Kencing Manis Semasa Hamil

Darah tinggi ketika hamil dikaitkan dengan pre-eklampsia, di mana kondisi ini boleh menyebabkan plasenta tidak dapat menyalurkan jumlah darah dan oksigen yang cukup untuk bayi.

Bagi pesakit kencing manis atau diabetes gestasi, ibu hamil berkemungkinan mempunyai saiz bayi yang besar atau komplikasi kesihatan yang lain. Semua ini antara punca anda bermasalah untuk melahirkan bayi tersebut secara normal.

9. Masalah Tumbesaran Bayi

Masalah tumbesaran bayi seperti pembesaran terbantut (IUGR) kebanyakannya mempunyai masalah mudah lemas semasa bersalin. Oleh itu, pembedahan dipilih sebagai cara paling selamat untuk mengelakkan sebarang komplikasi lain semasa bersalin.

10. Bayi Kembar

Memang ada kelahiran kembar yang dibenarkan untuk lahir secara normal. Namun, ia bergantung kepada posisi, berat badan, dan usia dalam kandungan.

Baca juga : Istimewa Kurniaan Seorang Anak

RISIKO BERSALIN SECARA PEMBEDAHAN / CEASAREAN


1. Masalah pernafasan pada bayi

Masalah ini sering terjadi pada bayi yang memang sudah dirancang akan dilahirkan melalui cara pembedahan. Mereka mungkin akan sesak nafas kerana paru-paru tidak berkembang sepenuhnya.

2.  Jangkitan pada rahim ibu

Ia juga dikenali sebagai endometritis yang menyebabkan keradangan atau jangkitan pada uterus. Ia membuatkan ibu demam panas, sakit di bahagian uterus dan mengeluarkan lendiran vagina yang tidak normal.

3. Pendarahan

Ibu yang bersalin secara pembedahan akan kehilangan lebih banyak darah berbanding ibu yang bersalin secara normal.

4. Tindak balas buruk terhadap ubat anestesia

Walaupun jarang berlaku, namun ada juga ibu-ibu yang mengalami tindak balas buruk terhadap ubat anestesia seperti epidural.

5. Darah berkumpul

Selepas pembedahan c-section, gumpalan darah boleh terbentuk di urat saraf bahagian kaki dan pelvik si ibu. Gumpalan darah ini amat berbahaya kerana ia boleh ke paru-paru dan membawa maut.

Keadaan ini dikenali sebagai pulmonary embolism. 

6. Jangkitan kuman di kesan luka

Jangkitan kuman ini biasanya berlaku di kawasan luka potong atau di dalam uterus.

7. Kecederaan akibat pembedahan

Selain daripada kesan potongan yang tidak disengajakan di kulit bayi, risiko bersalin caesar juga termasuklah kerosakan atau kecederaan pada ibu bersalin.

Ini kerana wujudnya risiko organ berhampiran kandungan, seperti pundi kencing yang rosak.

Yang paling penting ibu-ibu kena tahu, pembedahan c-section juga mampu menambah risiko untuk kehamilan seterusnya.

Biasanya selepas c-section, ibu akan mengalami masalah plasenta atau rahim pecah.

Namun, ibu hamil juga boleh cuba untuk bersalin normal selepas pernah melalui c-section. Ia dikenali sebagai VBAC (vaginal birth after c-section). 

Baca juga : Suami Perlu Lakukan 5 Perkara Ini Ketika Isteri Berpantang | Bertambah-tambah Sayang

PETUA BERPANTANG BAGI IBU BERSALIN SECARA PEMBEDAHAN


1. Teruskan penyusuan susu ibu seperti biasa

Menyusu bayi mampu membantu mengecutkan rahim dengan lebih cepat.  Ia juga mampu membantu manjadikan tubuh kembali langsing.

Rahsianya untuk menjayakan penyusuan susu ibu adalah dengan banyakkan berzikir, amalkan makan sayur terutama sayur berdaun hijau, minum banyak air putih dan konsisten menyusu/mengepam.

2. Pakai stoking sepanjang masa

Stoking perlu di pakai sepanjang masa. Hanya dibuka ketika mahu masuk ke tandas dan semasa mandi.

Selepas itu, sapu minyak panas dan pakai kembali stoking anda. Ini untuk mengelakkan badan dari dimasuki angin.

3. Pakai pilis dan param

Pilis dan param dikatakan untuk mengelakkan rabun.Walaupun ianya tidak selesa, tapi ia perlu dipakai.

Banyakkan berehat dan kurangkan membaca di bawah cahaya suram atau gelap.

4. Nasi WAJIB dimakan panas-panas

Pastikan anda makan nasi yang baru dimasak dan masih panas. Elakkan makan nasi yang sudah sejuk. Hangatkan semula jika perlu.

5. Cuba ambil makanan yang seimbang

Semasa berpantang, tubuh memerlukan nutrisi yang seimbang. Untuk kesihatan tubuh dan juga untuk bekalan kepada si bayi.

Dari mana kita boleh dapat nutrisi lengkap tu? Tentulah dari pemakanan semasa berpantang. Walau berpantang, pastikan kita mendapat cukup karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral dari buah-buahan dan sayur-sayuran.

Ia menjadikan kita lebih bertenaga,  tidak pucat, pengeluaran susu lebih meriah dan juga bantu melawaskan pembuangan air besar setiap hari.

6. Minum air putih 2-3L sehari

Walau dalam pantang, perlu minum air putih dalam kuantiti yang banyak, sekurang-kurangnya 2-3L sehari.

Minumlah dalam kuantiti yang kecil tetapi dengan kerap. Air sangat penting jika anda menyusu bayi. Jika tidak cukup air, dari manakah susu hendak ada dengan meriahnya? Dalam pantang, di galakkan untuk minum air suam.

7. Elakkan melakukan aktiviti lasak dan berat

Orang dahulu kata, Jangan pegang penyapu. Jangan jalan laju-laju dan jalan kena kepit.

Sebenarnya, bukan tidak boleh, tetapi dalam pantang ni kita kena berhati-hati dengan pergerakan kita. Takut ibu jari kaki terlanggar apa-apa.

Nanti boleh kena bentan. Selain itu, elakkan dari mengangkat benda berat. Rahim kita baru lepas melakukan kerja berat dan peranakan baru sahaja lepas di angkat.

Dikuatiri takut rahim jatuh kembali atau jahitan bersalin terbuka semula.

8. Berurut seperti biasa

Ada orang kata, bersalin secara pembedahan ni tidak boleh berurut dahulu.

Sebenarnya, boleh je. Cuma jangan sentuh bahagian luka pembedahan aje. Tempat-tempat lain seperti kaki, tangan, belakang badan, kepala tu boleh diurut seperti biasa.

Semoga info ini bermanfaat buat semua.

With Love
Papaglamz

-sekian-


LIKE dan FOLLOW Papaglamz.com untuk update terkini di Facebook, Twitter, Instagram serta Telegram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Papaglamz.com © . Designed by MaisarahSidi.com